ISO, Kapitalisme, dan Ilusi Kelestarian: Satu Polemik
9/2/2025
Pendahuluan
Dalam era moden, istilah seperti ISO certified, low-carbon, sustainable development, dan corporate social responsibility telah menjadi sebahagian daripada retorik organisasi. Piawaian antarabangsa seperti ISO sering dipromosikan sebagai bukti komitmen syarikat atau institusi terhadap kualiti, kelestarian, dan tanggungjawab sosial. Namun, persoalan kritikal yang jarang ditanyakan ialah: adakah semua ini benar-benar menyumbang kepada kelestarian alam dan kesejahteraan masyarakat, atau sekadar topeng kapitalisme yang semakin rakus?
Tesis utama polemik ini ialah bahawa ISO pada hakikatnya merupakan satu mekanisme teknokratik yang memperindah kerakusan kapitalis, menyadur eksploitasi sumber asli dengan bahasa moral seperti “rendah karbon” atau “nilai sosial”. Dengan kata lain, ISO bukanlah jaminan kelestarian, sebaliknya satu bentuk legitimasi baru untuk sistem kapitalis global yang masih berpaksikan keuntungan tanpa had.
1. ISO sebagai Mekanisme Standardisasi KapitalisAsal-usul ISO bermula selepas Perang Dunia Kedua, apabila dunia memerlukan satu sistem piawaian antarabangsa untuk menyatukan proses industri dan perdagangan. Fungsi awalnya mungkin bersifat neutral, tetapi apabila kapitalisme global berkembang, ISO bertukar menjadi alat standardisasi yang memudahkan aliran barangan, pelaburan, dan eksploitasi pasaran.
ISO 9001, misalnya, yang kononnya memastikan “kualiti”, dalam realiti berfungsi sebagai tiket masuk ke pasaran global. Syarikat kecil di negara membangun dipaksa mematuhi standard Barat demi akses eksport. Standardisasi ini memudahkan syarikat multinasional mengawal rantaian bekalan, dan sekaligus menguntungkan kapitalis besar. Dengan retorik kualiti dan keselamatan, ISO sebenarnya membuka laluan kepada overproduction—lebih banyak kilang, lebih banyak produk, dan akhirnya, lebih banyak eksploitasi sumber bumi.
2. Retorik Kelestarian dan GreenwashingISO 14001 sering dijadikan bukti komitmen syarikat terhadap alam sekitar. Piawaian ini mewajibkan syarikat mendokumentasikan kesan alam sekitar dan merancang mitigasi. Namun, dalam praktiknya, ISO 14001 lebih sering menjadi alat greenwashing.
Contoh paling jelas ialah kereta elektrik dan hibrid. Ia dipasarkan sebagai kenderaan rendah karbon. Namun, pengeluaran bateri litium dan nikel yang digunakan dalam kereta ini menambah beban ekologi melalui perlombongan intensif. Begitu juga dengan pengeluar barangan elektrik yang memasarkan produk elektronik dengan label cekap tenaga. Walaupun penggunaan elektrik setiap unit berkurang, industri elektronik global terus memperluas skala pengeluaran, meningkatkan permintaan terhadap logam nadir bumi dan plastik.
Dalam kedua-dua kes ini, kelestarian hanyalah branding strategy. ISO memberikan bahasa moral untuk produk kapitalis, membolehkan syarikat memperluas pasaran dengan wajah hijau, walaupun kesan alam sekitar sebenar masih memburuk.
3. Paradoks Rebound Effect
Fenomena rebound effect menunjukkan bahawa inovasi mesra alam tidak semestinya mengurangkan impak ekologi secara keseluruhan. Kereta elketrik mungkin jimat minyak, tetapi kesannya ialah lebih ramai orang membeli kereta kerana berasa kurang bersalah. Televisyen cekap tenaga menyebabkan isi rumah membeli lebih banyak televisyen, sehingga penggunaan tenaga global tetap meningkat.
ISO dalam konteks ini hanya memperkemas inovasi kapitalis, bukan mengubah arah tuju. Standard dan sistem hanya menjadikan produk lebih konsisten, tetapi tetap mengekalkan budaya konsumerisme berlebihan. Rebound effect membuktikan bahawa selagi sistem ekonomi berasaskan pertumbuhan tanpa had, setiap penjimatan akan ditebus dengan peningkatan penggunaan di tempat lain.
4. ISO dalam Akademia dan Birokrasi
Banyak universiti di Malaysia seperti telah memperkenalkan ISO dalam pentadbiran akademik. Hasilnya, memang terdapat sedikit pengurangan kekaburan birokrasi. Namun, realitinya, ISO di dunia akademik hanya menambahkan lagi budaya audit dan KPI.
Pensyarah dipaksa mengisi borang penilaian ISO, menyediakan dokumentasi tanpa henti, dan mengejar piawaian antarabangsa—bukan kerana ilmu atau hikmah, tetapi kerana syarat akreditasi. Retorik “penyelidikan transdisiplinari” yang sering dilaungkan tidak lebih daripada kosmetik untuk menepati kehendak penilai antarabangsa. Inovasi akademik akhirnya berubah menjadi kilang laporan, bukan medan pencarian makna atau kebijaksanaan.
5. ISO, Reductionism, dan Hilangnya Meta-Kesedaran
Masalah paling mendalam dengan ISO ialah sifatnya yang reduksionis. Realiti yang kompleks dijadikan indikator, rekod, dan dokumen. Segala sesuatu mesti boleh diukur, dipiawai, dan diaudit.
Ini mencerminkan dominasi “otak kiri” dalam tamadun moden: logik, kawalan, dan metrik. Sebaliknya, “otak kanan” yang mewakili imaginasi, integrasi, dan makna kolektif semakin dipinggirkan (Ian MCgilchrist). ISO hanya memperkukuh budaya teknokratik yang membunuh makna dan meta-kesedaran.
Hasilnya, inovasi yang lahir bukan transformasi radikal, tetapi sekadar kosmetik—produk lama dalam pembungkusan hijau. Inilah yang Hassan Spiker maksudkan apabila menegaskan bahawa dunia moden kehilangan akar transendensi dalam ilmu.
6. ISO dan Legitimasi Kapitalisme Global
Kapitalisme moden tidak boleh bertahan tanpa topeng moral. ISO menyediakan topeng itu. Label seperti “quality management”, “sustainability”, dan “responsible sourcing” menjadi bahasa moral yang melegakan hati masyarakat pengguna.
Hakikatnya, ISO memastikan syarikat multinasional boleh menguasai pasaran negara membangun. Negara-negara kecil dipaksa menyesuaikan piawaian Barat untuk “market access”. Perlombongan, perkilangan, dan eksport terus berkembang, tetapi kini dengan label “ISO compliant”. Eksploitasi sama, cuma disadur dengan wajah lebih bersih.
7. Alternatif: Dari ISO ke Hikmah
ISO gagal kerana ia lahir daripada kerangka teknokratik. Untuk keluar daripada ilusi ini, perlu ada perubahan paradigma. Antara alternatif yang boleh dipertimbangkan:
Ekonomi Cukup (Economy of Enough) – menolak obsesi pertumbuhan tanpa batas, memberi tumpuan kepada keseimbangan.
Ekonomi berasaskan sumber (Resource Based Economy) - selain dari mengekang pertumbuhan permintaan, ekonomi berasaskan sumber memerlukan pengeluar melihat sumber yang ada, memikirkan kelangsungan generasi masa hadapan.
Ilmu dan Hikmah – menjadikan kelestarian bukan sekadar metrik, tetapi nilai transendental.
Desiloization – membongkar fragmentasi yang dicipta oleh standardisasi, mengembalikan integrasi ilmu, masyarakat, dan alam.
Dengan kata lain, kelestarian sejati hanya boleh wujud apabila kita melepasi kerangka ISO dan kapitalisme. Piawaian boleh menjadi alat, tetapi bukan matlamat.
Kesimpulan
ISO sering dipromosikan sebagai bukti komitmen terhadap kualiti, kelestarian, dan tanggungjawab sosial. Namun, dalam realiti, ia lebih banyak berfungsi sebagai mekanisme kapitalis untuk menyadur kerakusan dengan bahasa moral. Melalui standardisasi, greenwashing, dan legitimasi teknokratik, ISO membantu mengekalkan sistem ekonomi global yang masih bergantung kepada eksploitasi sumber dan pertumbuhan tanpa had.
Kelestarian yang dijanjikan hanyalah ilusi. Jalan keluar bukanlah lebih banyak piawaian, tetapi perubahan paradigma: daripada ekonomi pertumbuhan kepada ekonomi cukup, daripada ilmu teknokratik kepada hikmah, daripada fragmentasi kepada integrasi. Selagi kapitalisme tidak dicabar, ISO hanya akan menjadi perisai moral untuk kerakusan, bukan penyelesai krisis alam dan manusia.
Comments
Post a Comment