Realisme Kapitalis: Penjara Tamadun
Kita bebas berbeza pendapat. Tetapi adakah kita benar-benar bebas berfikir di luar kapitalisme?
Hari ini, para pemikir, sarjana dan ilmuwan mempunyai hujah, falsafah dan pendekatan yang berbeza-beza. Mereka berdebat tentang keadilan, pendidikan, teknologi, alam sekitar dan masa depan manusia. Namun, di sebalik perbezaan itu, mungkinkah kita masih berfikir dan bertindak dalam satu kerangka yang sama—kerangka yang menganggap logik kapitalisme sebagai sesuatu yang tidak dapat dielakkan?
Inilah persoalan provokatif yang dibangkitkan Mark Fisher dalam Capitalist Realism. Bukan sekadar kapitalisme menguasai ekonomi, tetapi ia turut membentuk apa yang kita anggap mungkin, munasabah dan boleh dibayangkan. Kita mungkin mengkritik sistem ini, tetapi masih sukar membayangkan kehidupan yang benar-benar melangkaui batasnya.
Kapitalisme realisme dapat dilihat dalam cara kita cuba melawan sistem, tetapi akhirnya masih menggunakan bahasa dan logik sistem itu. Kita bimbang tentang pencemaran, lalu diajak menyelesaikannya dengan membeli produk “hijau”—seolah-olah krisis penggunaan berlebihan boleh diatasi melalui lebih banyak penggunaan. Kita marah kerana pekerja dibayar rendah, lalu menuntut gaji yang lebih baik, tetapi jarang berani bertanya mengapa kehidupan manusia mesti bergantung sepenuhnya pada menjual tenaga dan masa untuk terus hidup.
Dalam politik, kita mengecam ketidaksamaan, tetapi penyelesaiannya sering dibingkaikan sebagai menarik pelaburan, merangsang pasaran atau menjadikan negara lebih kompetitif. Tuntutan perubahan akhirnya disesuaikan supaya tidak mengganggu aturan ekonomi yang sedia ada. Usaha seperti ini tetap boleh membawa pembaikan penting. Namun, persoalan Mark Fisher lebih mendasar: adakah kita sedang mengubah sistem, atau hanya mencari cara yang lebih selesa untuk terus hidup di dalamnya?
Seperti ungkapan yang dikaitkan dengan Fredric Jameson dan Slavoj Žižek, lebih mudah membayangkan berakhirnya dunia daripada berakhirnya kapitalisme (Fisher, 2009, p. 2).
Mungkin kerana kita bukan sekadar hidup di dalam sistem itu. Kita juga telah belajar untuk berfikir di dalamnya
Fikir Lestari
RUJUKAN
Fisher, M. (2009). Capitalist realism: Is there no alternative? Zero Books.
Jameson, F. (2003). Future city. New Left Review, (21), 65–79.
Žižek, S. (1994). The spectre of ideology. In S. Žižek (Ed.), Mapping ideology (pp. 1–33). Verso.
.

Comments
Post a Comment